SihatSelalu.lot.my sudah berpindah ke sistem baru yang lebih canggih -
www.sihatselalu.biz.
Sila lakukan pembelian di sana. Terima kasih.


Monday, July 30, 2007

Prosedur Menubuhkan Syarikat

Selepas mengenal pasti peluang perniagaan dan sumber modal bagi menjalankannya, langkah seterusnya yang perlu dilakukan bakal usahawan ialah menubuhkan syarikat.

Lazimnya perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini didaftarkan sama ada di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (milikan tunggal dan perkongsian), atau Akta Syarikat 1965 (syarikat sendirian berhad).

Sebelum memilih jenis entiti perniagaan, penting untuk mengetahui beberapa bentuk perniagaan ada di negara ini.

* Milikan Tunggal

Dimiliki oleh seorang pengusaha dan lazimnya dibantu pekerja yang dibayar gaji.

Pemilik bertanggungjawab sepenuhnya terhadap modal, hutang perniagaan, pengurusan dan masa depan perniagaan.

* Perniagaan Perkongsian

Dimiliki dua hingga 20 orang.

Hak dan tanggungjawab rakan kongsi termaktub dalam Surat Perjanjian dan Akta Perkongsian 1961.

Hutang perniagaan ditanggung rakan kongsi secara bersama.

* Syarikat Sendirian Berhad

Tanggungan kewangan anggota syarikat terhad kepada jumlah saham yang dipegang.

Nama syarikat perlu menggunakan perkataan Sdn Bhd di hujungnya.

Bilangan anggota antara 2 hingga 50 orang.

Tidak dibenarkan mempelawa orang ramai membeli sebarang saham syarikat.

Cara Mendaftarkan Syarikat Milikan Tunggal dan Perkongsian

Mengikut Seksyen 5, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, butiran nama perniagaan, tarikh mula berniaga, jenis perniagaan dan pemilik perniagaan hendaklah dikemukakan bagi tujuan pendaftaran di pejabat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Borang yang digunakan bagi mendaftarkan perniagaan ialah Borang A yang boleh diperoleh percuma di pejabat SSM.

Bakal peniaga perlu mencatatkan butiran perniagaan dalam borang dan menandatanganinya di depan Pegawai Pengesahan yang dinamakan dalam Borang A iaitu hakim, Ahli Parlimen, majistret, peguam, pegawai daerah atau penghulu.

Bayaran pendaftaran perniagaan ialah RM30 bagi perniagaan yang menggunakan nama pemiliknya dan RM60 bagi perniagaan yang menggunakan nama dagang. Sesuatu perniagaan yang menggunakan nama pemilik bersama perkataan lain dianggap menggunakan nama dagang dan dikenakan bayaran pendaftaran RM60.


Tanggungjawab Pemilik Perniagaan

Pemilik tunggal atau rakan kongsi mempunyai tanggungan terhadap hutang perniagaan yang tidak terhad. Sebarang aset peribadi peniaga boleh diambil bagi menyelesaikan semua hutang perniagaan.

Jika peniaga atau rakan kongsi tidak mempunyai aset yang mencukupi bagi membayar balik hutangnya, tindakan mahkamah boleh diambil bagi mengisytiharkannya muflis.

Cara Mendaftarkan Syarikat Sendirian Berhad

Untuk mendaftarkan syarikat sendirian berhad, usahawan perlu mendapatkan khidmat setiausaha syarikat.

Di sisi undang-undang, syarikat adalah badan korporat yang mempunyai identiti tersendiri dan berasingan daripada pemegang sahamnya. Oleh itu, sesebuah syarikat boleh mendakwa dan didakwa.

Bagi mendaftarkan syarikat, Memorandum Persatuan dan Perkara-Perkara Persatuan perlu disediakan. Memorandum Persatuan menerangkan beberapa komponen penting struktur sesebuah syarikat.


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes