SihatSelalu.lot.my sudah berpindah ke sistem baru yang lebih canggih -
www.sihatselalu.biz.
Sila lakukan pembelian di sana. Terima kasih.


Monday, August 6, 2007

Faktor Perlu Diambil Kira Apabila Membeli Rumah

Dalam membuat keputusan pembelian rumah, anda mempunyai tiga pilihan iaitu membeli rumah sekarang kerana anda sudah menjumpai rumah yang sesuai, menarik dan menguntungkan atau anda menangguhkan pembelian sehingga berjumpa dengan rumah sedemikian atau anda menyewa rumah sepanjang hayat anda.

Bagi membuat pilihan pertama dan kedua anda perlu tahu kriteria dalam menentukan rumah yang hendak dibeli itu sesuai, menarik dan menguntungkan.

Pertama, anda perlu mencari lokasi, keluasan, susun atur, bilangan bilik, kemasan dan ciri rumah yang sesuai dengan keperluan, kehendak dan kemampuan kewangan anda.

Jangan lupa mengambil kira keperluan sekarang dan juga keperluan tambahan apabila bilangan anak bertambah.

Kedua ialah mencari rumah yang harga tawarannya menarik.

Anda perlu membandingkan harga tawaran dengan harga pasaran untuk rumah seumpama itu di kawasan berkenaan.

Anda boleh mengira berapakah luas rumah itu dan mengira kos jualan bagi setiap kaki persegi. Kos jualan berdasarkan RM/kaki persegi boleh digunakan sebagai perbandingan dengan kos projek lain.

Kos juga boleh dipecahkan kepada kos binaan dan kos tanah berdasarkan keluasan binaan dan keluasan tanah untuk unit berkaitan.

Ketiga ialah menilai ciri kelebihan dan kelemahan yang ada pada rumah berkenaan.

Lokasi strategik berdekatan pusat bandar, kawasan perindustrian, sekolah, pasar, kejiranan rendah kadar jenayah, jalan raya tidak sesak dan seumpamanya sudah tentu faktor positif yang menarik.

Pada peringkat lebih mikro, rumah tepi, berhadapan dengan taman, menghadap matahari naik dan memiliki pemandangan depan rumah yang menarik adalah antara faktor tambahan menjadi tarikan.

Reka bentuk, susun atur dan kemasan rumah yang baik akan menyumbang kepada keselesaan dan memberi impak besar kepada suasana di dalam rumah.

Spesifikasi alatan, kemasan lantai dan sebagainya akan menentukan hayat ketahanan dan boleh menjadikan selenggaraan lebih mudah dan murah.

Dari sudut ekonomi dan pelaburan pula, keuntungan daripada pembelian sesebuah rumah diperoleh dari kenaikan nilai rumah dan kenaikan sewa.

Jika tempat itu strategik seperti berdekatan universiti, kolej, hospital, pejabat kerajaan, kawasan industri dan sebagainya, pertumbuhan ekonominya yang pesat menjadikan nilai rumah cepat meningkat.

Jika sewa bulanan tinggi, ia boleh digunakan untuk membayar sebahagian dari ansuran pinjaman, sementara kenaikan nilai rumah hanya akan di peroleh apabila rumah itu dijual.

Seorang rakan memaklumkan beliau menyewa apartmen seluas 750 kaki persegi di Subang berdekatan dengan pasar dengan kadar sewaan RM450 sebulan dan beliau ditawarkan untuk membeli apartmen itu dengan harga RM50,000.

Jika keadaan fizikal apartmen itu masih baik dan berkedudukan strategik dan harga tawaran pula murah iaitu RM55,000/750 = RM66.66 sekaki persegi, ia adalah satu tawaran sangat menarik.

Umumnya, pembelian rumah boleh menjadi satu bentuk pelaburan yang baik kepada pasangan muda kerana duit sewaan bulanan rumah akan bertukar sebagai bayaran ansuran pinjaman rumah dan akhirnya rumah itu menjadi milik mereka.

Insurans hartanah (MRTA) yang dibeli bersama pula boleh membantu melangsaikan hutang jika peminjam meninggal dunia dan pewaris sudah tersedia dengan sebuah rumah untuk kediaman mereka.

Jika anda mahu membeli daripada pemaju perumahan, anda juga perlu sedar bahawa pemaju yang lemah boleh menyebabkan projek tidak siap atau rumah yang disiapkan tidak berkualiti.

Anda dicadangkan meneliti latar belakang pemaju dengan melihat rekod projek mereka yang lalu.


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes