SihatSelalu.lot.my sudah berpindah ke sistem baru yang lebih canggih -
www.sihatselalu.biz.
Sila lakukan pembelian di sana. Terima kasih.


Monday, August 13, 2007

Insurans Perlu Dalam Perancangan Kewangan

Semua orang yang memiliki kenderaan tahu tentang insurans kenderaan kerana ianya wajib bagi semua kenderaan dan menjadi kesalahan jika kenderaan digunakan tanpa insurans. Bagaimana pun masih ramai yang tidak begitu mengetahui tentang produk insurans lain seperti insuran hayat (kematian), kemalangan, rawatan penyakit kritikal, hilang upaya kekal, hartanah dan lain-lain.

Suatu ketika dahulu orang Islam menjauhi produk insurans kerana ia difatwakan haram. Mereka menubuhkan syarikat khairat kebajikan sebagai organisasi untuk membantu ahli apabila berlaku kematian, kemalangan atau untuk membantu ahli menganjurkan majlis kenduri kahwin dan sebagainya.

Bagaimanapun, sekarang terdapat produk insurans takaful yang konsep dan operasinya selaras dengan syariat Islam dan diterima oleh Majlis Fatwa Agama Islam. Konsep asasnya ialah wang bayaran premium dipecahkan kepada dua iaitu wang pelaburan dan tabarru' (derma ikhlas bertujuan kebajikan).

Peruntukan tabarru' adalah sumbangan ahli kepada ahli yang ditimpa kemalangan melalui konsep tolong menolong sesama ahli. Sementara wang pelaburan adalah milik pembeli insurans dan akan dipulangkan bersama dengan keuntungan pelaburan apabila sampai tempoh matang.

Dengan adanya insurans takaful yang mematuhi kehendak syariah, pembelian insurans di kalangan orang Islam meningkat tetapi kadarnya masih rendah berbanding dengan kaum lain.

Isu penting yang perlu difikirkan ialah apakah kita perlu membeli insurans perlindungan. Terdapat berbagai produk insurans yang menawarkan pelbagai jenis perlindungan seperti perlindungan kebakaran, kemalangan, perubatan, kematian, kecurian dan sebagainya.

Melalui pembelian insurans tabarru', wang tabarru' anda akan dikumpulkan bersama wang tabarru' orang lain untuk membantu mereka yang malang dan jika anda menimpa kemalangan maka wang tabarru' itu akan diberikan kepada anda atau tanggungan anda. Katakan anda ada membeli takaful manfaat kematian sebanyak RM50,000.00 dan ditakdirkan anda meninggal dunia maka tanggungan anda (anak, isteri atau ibu yang sudah tua yang anda namakan) akan mendapat wang tabarru' untuk membantu menyara hidup mereka.

Ini adalah sesuai dengan maksud sabda Rasulullah SAW : “Tinggalkan anak dan isteri dengan kesenangan adalah lebih baik dari meninggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta”, hadis riwayat Imam Bukhari.

Jumlah premium yang anda kena bayar adalah bergantung kepada bentuk pelan perlindungan, jumlah amaun yang diinsuranskan, umur peserta, pekerjaan, kesihatan peserta, sama ada peserta merokok atau tidak, tempoh perlindungan dan sebagainya. Faktor ini adalah asas pengiraan keberangkalian dan risiko berlakunya musibah dan pengiraan ini dibuat oleh syarikat insurans.

Ringkasnya, anda berusaha dan berdoa supaya anda tidak ditimpa musibah tetapi musibah boleh menimpa sesiapa termasuk diri anda. Maka memang wajar anda bersedia dengan perlindungan insurans yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan anda dan pembelian insurans adalah sebahagian daripada komponen penting dalam perancangan kewangan peribadi seseorang.


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Facebook Themes